Maybank


 

 

Pelaburan emas meningkat – Maybank 

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Malayan Banking Bhd. (Maybank), bank perdagangan terbesar di Malaysia, menjangkakan minat untuk melabur dalam emas di negara ini akan meningkat lagi berikutan terdapatnya aliran kenaikan dalam harga logam berkenaan di pasaran dunia.

Naib Presiden Eksekutif Kanan, Ketua Perbankan Konsumernya, Lim Hong Tat berkata: ”Harga emas berada dalam aliran menaik dan kami melihat terdapat minat yang tinggi dalam buku akaun simpanan emas (GSPA),

”Prospek pertumbuhannya akan bergantung bagaimana pelanggan melihat pergerakan harga dalam keadaan pasaran semasa.

”Bagaimanapun, kami mendapati sejak setahun lalu, sejak November 2008 hingga November 2009, bilangan akaun GSPA yang dibuka telah berkembang sebanyak 147 peratus membayangkan keyakinan pelanggan menjadikan emas sebagai satu bentuk pelaburan,” kata Hong Tat dalam temu bual bertulis dengan Utusan Malaysia di sini.

Maybank telah memperkenalkan GSPA pada tahun 1997 selari dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi urus niaga emas. Bank itu, pada tahun 2001 telah dilantik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjual syiling emas dikenali Kijang Emas, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Difahamkan, keadaan ekonomi dunia yang tidak menggalakkan telah menyebabkan kebanyakan pelabur kini beralih daripada pasaran ekuiti kepada pelaburan emas yang dilihat sebagai pilihan lebih selamat.

(Utusan Malaysia : 11 Januari 2010)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_06.htm

Apakah faedahnya membeli emas melalui GSPA dan Kijang Emas?

Setiap produk mempunyai kelebihannya yang tersendiri. GSPA merupakan pelaburan emas menggunakan buku akaun simpanan. Tiada pegangan emas secara fizikal dalam urus niaga ini kecuali di atas permintaan pelanggan.

Pelanggan GSPA mempunyai opsyen untuk menukar akaun pegangan dalam buku simpanan atau (paper gold) kepada memegang emas secara fizikal. Akaun GSPA menawarkan pelaburan emas dalam kadar 10 gram, 20 gram dan 50 gram.

Berbeza dengan GSPA, urus niaga Kijang Emas dibuat berdasarkan kiraan auns yang merupakan sebut harga standard. Kijang Emas merupakan produk BNM, jadi ia memberikan keyakinan kepada pelanggan tentang nilai dan ketulenannya sebagai satu pilihan pelaburan.

Apakah perbezaannya dengan pelaburan emas yang dibeli melalui kedai emas?

Emas yang dibeli daripada kedai-kedai emas adalah tertakluk kepada kos hasil kerja tangan berkemahiran tinggi. Emas yang dibeli itu lebih untuk tujuan perhiasan berbanding pelaburan.

Tebaran had belian dan jualan juga luas. Bagi mereka yang serius untuk melabur dalam emas, mereka akan melabur dalam akaun emas seperti dalam GSPA dan Kijang Emas.

PRODUK YANG DITAWARKAN (Maybank GSPA & Kijang Emas)

 Rujuk harga semasa jualan/belian akaun emas GSPA dan Kijang Emas melaui laman berikut :

 www.maybank2u.com.my

 Klik tab “Investment” > Klik “Gold Savings Passbook Account ” >dan klik “View Today Gold Rates”.

 

 

Share on Facebook